Disclaimer :
Laman web ini adalah hak milik peribadi Tok Mat.   Ini bukannya laman web rasmi bagi Syarikat BuluhMas Enterprise Sdn. Bhd.  Laman web ini adalah sebagai kemudahan bagi kumpulan saya mempromosikan peluang perniagaan ini.
Laman web rasmi BuluhMas Enterprise Sdn. Bhd adalah DI SINI
Hubungi Saya  :

TOK MAT
( Wakil Tuaran / Kota Kinabalu )

Telefon : 012 - 9159988
E-Mail : tokmat9988@gmail.com
YM : katalogbisnes
Berita Serbuan Bank Negara Malaysia ke Pejabat BuluhMas

____________________________________________________________________________________________________

BuluhMas pernah disahkan KPDNHEP

BUKIT RAMBAi - “KPDNHEP mengesahkan syarikat BuluhMas Sdn Bhd (BuluhMas) adalah sah di sisi undang-undang, oleh itu, kami bersetuju untuk menyertainya,” demikian luah beberapa ahli syarikat BuluhMas yang sedang disiasat Bank Negara Malaysia (BNM) kerana disyaki mengambil deposit secara haram baru-baru ini.

Menurut salah seorang ahli Ahmad Zuraidi Rashid@Mustafa, 36, dari Bukit Rambai, dia pernah menghantar surat ke Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) untuk mendapatkan pengesahan sebelum menceburkan diri dalam syarikat agensi pengiklanan tersebut.

Hasil dari surat yang dihantar ke KPDNHEP yang berpejabat di Kompleks PKNS, Jalan Perusahaan Satu, Kuala Selangor itu sudah menjelaskan yang syarikat terbabit memiliki lesen perniagaan sah.

Jelasnya, syarikat yang berpejabat di Tanjong Karang, Kuala Selangor itu, menjalankan perniagaan secara bayaran upah kepada pelabur yang berperanan sebagai promoter.

“Ia juga menjelaskan BuluhMas bukannya syarikat jualan langsung ataupun yang mengamalkan skim piramid malah keuntungan yang diperoleh adalah hasil jualan runcit dari kedai-kedai runcit milik BuluhMas.

“Saya benar-benar terkejut apabila tiba-tiba keluar dalam akhbar tempatan mengenai arahan BNM yang mengarahkan agar BuluhMas menghentikan operasi buat sementara selama tiga bulan bagi tujuan siasatan kerana didakwa mengambil deposit secara haram dan mirip kepada skim cepat kaya.

“Oleh kerana KPDNHEP menjelaskan dan surat terbabit juga saya gunakan untuk meyakinkan orang ramai tetapi kini ianya didakwa tidak sah pula dan saya betul-betul kesal,” katanya.

Bagi Sidek Salleh, 44, pula berkata, dia kurang berpuas hati dengan laporan sebuah akhbar tempatan baru-baru ini yang melaporkan mengenai berpuluh wakil negeri dan promoter BuluhMas menyerbu ibu pejabat itu bagi mendapatkan penjelasan lanjut.

“Mereka yang datang ke pejabat berkenaan di Tanjong Karang atas jemputan pihak pengurusan syarikat dan bukan menyerbu seolah-olah menggambarkan hal yang negatif tentang BuluhMas.

“Kita berharap tempoh penggantungan ini tidak lama kerana ianya akan menjejaskan reputasi BuluhMas,” katanya.

Sumber : Sinar Harian
Tarikh : 22hb Oktober 2008
____________________________________________________________________________________________________

Buluhmas nafi jalankan kegiatan deposit tanpa lesen

TANJONG KARANG – Buluhmas Enterprise Sdn Bhd menafikan syarikatnya terlibat dalam menjalankan kegiatan mengambil deposit tanpa lesen dan membuat pelaburan haram seperti yang dilaporkan sebuah akhbar semalam.

Setiausahanya, Abu Bakar Abu Hassan berkata, syarikatnya tidak pernah menjalankan kegiatan mengambil deposit dan menjalankan aktiviti pelaburan haram sebaliknya hanya menjalankan perniagaan berkonsepkan ‘upah’.

“Buluhmas menjalankan perkhidmatan pengiklanan secara bergerak melalui pelekat kenderaan oleh ahlinya.

“Setiap yang ingin menyertai hanya dikenakan RM15 sebagai yuran dan diberi pelekat. Sekiranya mereka berjaya mencari ahli baru mereka akan dibayar RM1 untuk seorang ahli,” katanya sewaktu ditemui di hadapan syarikat tersebut, di sini semalam.

Beliau berkata, upah yang diberikan kepada ahli (promoter) bergantung pada tahap kesungguhannya untuk mendapatkan ahli baru dan selain daripada wang tunai, promoter yang berjaya mencari ahli baru juga akan diberikan kupon untuk membeli barang Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

Katanya, perniagaan ini diwujudkan bagi membantu pengusaha IKS meningkatkan pendapatan kerana kesemua produk yang dihasilkan akan dibeli secara tunai oleh Buluhmas.

Abu Bakar berkata, Buluhmas mendapat keuntungan 50 peratus melalui jualan produk IKS tersebut dan 20 peratus daripadanya digunakan untuk membayar upah kepada promoter yang aktif.

“Hari ini semua wakil di setiap negeri dipanggil untuk menghadiri perjumpaan bersama Ketua Pengarah Eksekutif, Ame Hamzah Mat Atar bagi menerangkan mengenai keadaan sebenar Buluhmas,” katanya.

"Buluhmas diarahkan menghentikan operasi pendaftaran ahli baru dan pembayaran upah sepanjang tempoh siasatan yang dilakukan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) selama 90 hari bermula kelmarin, namun urusan yang lain berjalan seperti biasa," katanya.

Semalam, sebuah akhbar arus perdana tempatan melaporkan empat buah syarikat skim cepat kaya melalui internet yang mempunyai rangkaian beratus-ratus ribu pelabur dengan nilai pelaburan dipercayai mencecah ratusan juta ringgit diserbu BNM kelmarin.

Memetik laporan akhbar berkenaan, BNM dalam satu kenyataan di sini memberitahu, salah satu syarikat yang terlibat ialah Buluhmas Enterprise Sdn Bhd selain beberapa syarikat lagi.

Aktiviti syarikat-syarikat itu disiasat mengikut Seksyen 25 (1) Akta Bank dan Institusi-Institusi Kewangan 1989 yang melarang mana-mana individu yang tidak mempunyai lesen daripada menerima dan mengambil deposit.

Jika sabit kesalahan pegawai dan pemilik syarikat-syarikat terlibat boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau di penjara untuk tempoh 10 tahun atau kedua-duanya sekali.

Syarikat-syarikat itu juga disiasat di bawah Akta Pencegahan Penggubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001) yang melarang mana-mana individu daripada terlibat atau cuba untuk membabitkan diri atau bersubahat melakukan kegiatan penggubahan wang haram.

Sumber : Sinar Harian
Tarikh : 15hb Oktober 2008
____________________________________________________________________________________________________


Bank Negara Serbu Empat Syarikat Disyaki Terlibat Dalam Kegiatan Pengambilan Deposit Haram

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Bank Negara Malaysia menyerbu empat syarikat hari ini yang disyaki terlibat dalam kegiatan pengambilan deposit secara haram dan pengubahan wang haram.

Dalam satu kenyataan hari ini, Bank Negara berkata empat syarikat itu ialah Buluhmas Enterprise Sdn Bhd, Jazmeen (M) Sdn Bhd, Noradz Travel and Services Sdn Bhd dan Eastana Farm Industries Sdn Bhd, yang beroperasi di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan.

Aset-aset dan dokumen bekaitan syarikat itu dirampas untuk tujuan penyiasatan.

Serbuan itu dibuat berikutan aduan orang ramai.

Bank Negara akan menjalankan siasatan ke atas operator syarikat terbabit mengikut Seksyen 25(1) Akta Institusi Kewangan dan Perbankan (BAFIA) 1989 dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan (AMLATFA) 2001.

Jika sabit kesalahan, operator skim berkenaan boleh dipenjara tidak lebih 10 tahun atau denda tidak lebih RM10 juta atau kedua-duanya mengikut BAFIA.

Denda tidak melebihi RM5 juta atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya pula boleh dikenakan ke atas pesalah mengikut Seksyen 4(1) AMLATFA 2001.

Bank Negara menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan skim pelaburan wang yang dianjurkan menerusi Internet, panggilan telefon atau seminar yang dianjurkan oleh individu atau syarikat yang tidak berlesen atau dibenarkan oleh Bank Negara untuk menerima deposit atau menjalankan urus niaga tukaran asing.

Senarai semua institusi berlesen yang menerima deposit boleh didapati di laman web Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my.

Sumber :  BERNAMA
Tarikh : 13 Oktober, 2008 20:01 PM
____________________________________________________________________________________________________

Ref No: 10/08/03

Embargo: Untuk Siaran Segera
Bank Negara Malaysia Membuat Serbuan Terhadap Empat Buah Syarikat yang Disyaki Terlibat Dalam Kegiatan Pengambilan Deposit Secara Haram dan Pengubahan Wang Haram

Pada 13 Oktober 2008, Bank Negara Malaysia telah membuat serbuan terhadap Buluhmas Enterprise Sdn. Bhd., Jazmeen (M) Sdn. Bhd., Noradz Travel & Services Sdn. Bhd., dan Eastana Farm Industries Sdn. Bhd. di bawah Seksyen 25(1) Akta Bank & Institusi-Institusi Kewangan 1989 (BAFIA) dan Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan  (AMLATFA) 2001. Seksyen 25(1) BAFIA 1989 melarang mana-mana orang yang tidak mempunyai lesen daripada menerima, mengambil atau setuju menerima deposit, manakala Seksyen 4(1) AMLATFA 2001 melarang mana-mana orang daripada terlibat atau cuba untuk melibatkan diri dalam, atau bersubahat melakukan kegiatan pengubahan wang haram.

Serbuan telah dibuat di premis syarikat-syarikat tersebut di Kuala Lumpur, Selangor dan Negeri Sembilan berikutan aduan yang diterima daripada orang ramai. Aset dan dokumen syarikat-syarikat yang berkaitan telah dirampas untuk tujuan penyiasatan.

Mana-mana orang atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 25(1) BAFIA 1989  akan, atas sabitan, dikenakan denda tidak melebihi RM10 juta atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi 10  tahun atau kedua-duanya sekali. Mana-mana orang atau syarikat yang melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1) AMLATFA 2001 akan, atas sabitan, dikenakan denda tidak melebihi RM5 juta atau dipenjarakan untuk tempoh tidak melebihi  5 tahun atau kedua-duanya sekali.

Orang ramai diingatkan supaya sentiasa berwaspada dengan skim pelaburan yang dianjurkan melalui Internet, panggilan telefon, atau seminar oleh individu atau syarikat yang tidak dilesenkan atau dibenarkan oleh Bank Negara Malaysia untuk menerima deposit atau menjalankan urus niaga tukaran asing. Senarai semua institusi berlesen yang menerima deposit  terdapat di laman web Bank Negara Malaysia di www.bnm.gov.my.

Orang ramai boleh menghubungi Bank Negara Malaysia untuk sebarang pertanyaan  lanjut di pusat perhubungan berikut:

Laman Informasi Nasihat dan Khidmat (BNMLINK)
(Pusat Perkhidmatan Pelanggan)
Tingkat Bawah, Blok D
Jalan Dato' Onn
50480 Kuala Lumpur

BNMTELELINK
(Pusat Perhubungan Pelanggan)
1-300-88-5465  atau
E-mel: bnmtelelink@bnm.gov.my


Bank Negara Malaysia
13 Oktober 2008

© Bank Negara Malaysia, 2008. All rights reserved.
Sumber : Bank Negara Malaysia.
Di Halaman Ini, Saya Akan Masukan Berita Berkaitan Serbuan Bank Negara Malaysia Ke Pejabat BuluhMas.
21hb Oktober 2008